| Saturday, 4-Oct-2008 07:55 |
|
Aidilfitri 2008
|
|
tunggu for more updates...
Bagi yang berasal dari kampung seperti kami, apalah ertinya raya tanpa pulang ke kampung. Kemeriahannya tentu berbeza, malah aura pulang ke kampung itu sendiri juga berbeza berbanding hari-hari biasa. Alhamdulillah, seperti tahun-tahun sebelumnya, tahun ini juga kami dapat menyambut hari raya di kampung. Sejak memilih kerjaya sebagai wartawan, belum pernah lagi saya merasa beraya di tempat kerja. Tidak seperti rakan-rakan lain di akhbar seperti Utusan mahupun Berita Harian yang jarang dapat bercuti, namun di Bernama syukur yang teramat, kerana organisasi kami mempunyai ramai wartawan dikalangan kaum cina dan India yang akan mengambil alih tugas bagi membolehkan kaum melayu bercuti meraikan aidilfitri. Seperti pasangan lain, demi menjaga keharmonian rumahtangga sejak 6 tahun yang lalu, kami juga turut mengamalkan sistem pengiliran. Walaupun kampung kami berdekatan (tidak sampai 3 kilometer), namun isu pulang berhari raya menjadi isu yang cukup sensitif. Malah jika tidak dijaga dan dikawal dengan baik boleh menjadi perang dunia ke 3. Namun biasanya, si suamilah yang banyak mengalah, kerana dia cukup mengerti orang negeri 9 mmg lebihkan keluarga perempuan.
Raya kali ini cukup meriah terutama apabila kedua-dua puteri kami yang semakin membesar dan semakin mengerti tentang hari raya. Mulut Aina dan Alya yang banyak bertanya (semakin becok) itu dan ini serta kegahairahan mereka untuk meraikannya membuatkan suasana raya kami cukup bermakna kali ini. Keputusan mengambil cuti awal utk pulang ke kg, kami manfaatkan sepenuhnya. 10 hari di kampung terasa terlalu cepat berlalu. Namun hati saya puas kerana dapat berbuka bersama kedua mertua di Batu Kikir sebelum menghabiskan penghujung puasa di rumah keluarga saya di Kampung Lonek. Banyak pengalaman yang dikutip kali ini, sejak 33 tahun meraikan aidilfitri, inilah kami pertama saya mengambil peluang membantu mak membuat lemang bermula dari proses memerah kelapa hinggalah memasukkan beras pulut yang dicampur santan dan sedikit garam ke dalam batang lemang serta membakarnya. Selain itu saya juga turut belajar membuat rendang negeri sembilan yang sedikit berbeza berbanding rendang negeri lain serta turut belajar membuat beberapa kuih tradisional seperti membuat wajid dan kuih talam. Sungguh indah aidilfitri kali ini. Giliran tahun ini yang jatuh pada giliran keluarga saya, memberi peluang terutama di malam raya untuk kami adik beradik berkumpul bermula dari waktu berbuka puasa hingga ke jauh malam. Walaupun tanpa abang sulung yang kini menetap dan bertugas di Kuching, Sarawak, namun kami empat beradik perempuan tetap gembira. Keluarga kami agak kecil jika dibanding dengan sebelah suami yang mempuanyai lapan adik beradik dengan 25 cucu-- pasti suasananya jauh berbeza. Melihat kegembiraan diwajah emak , walaupun keletihan memasak cukup memberi kebahagian yang bukan sedikit. Itulah pengorbanan seorang ibu yang tidak pernah berhenti membahagiakan hati anak-anak. Di pagi raya, kesyahduannya cukup terasa. Selain tangan dikucup oleh puteri kami sambil mengucapkan " Selamat Hari Raya Mama dan Babah", saya juga masih diberi peluang mengucup tangan suami, emak serta kedua mertua. Itulah saat yang paling manis....., semoga kemaafan yang dipohon dapat menghapuskan kekesalan dan kesalahan yang pernah dilakukan dan mendapat keampunan dariNya.
Salam aidilfitri..... maaf dipinta jika terdapat perbuatan, tingkahlaku mahupun kata-kata yang kurang disenangi hingga menguris perasaan dari kami sekeluarga.
|